K
Laporan

Soalan

Sekolah kamu telah mengadakan aktiviti perkhemahan unit beruniform. Sebagai setiausaha Persatuan Pengakap, kamu diminta menulis laporan tentang perkhemahan tersebut. Tulis laporan kamu itu selengkapnya.

Contoh Jawapan

Laporan Perkhemahan Unit Beruniform
Sekolah Kebangsaan Setia Jaya

Pada 20 Jun 2010 hingga 21 Jun 2010, Sekolah Kebangsaan Setia Jaya telah mengadakan program perkhemahan unit beruniform di Kem Sekayu. Pasukan beruniform yang terlibat ialah Persatuan Pengakap, Tunas Puteri, Persatuan Bulan Sabit Merah, dan Puteri Islam.

Sebanyak 120 peserta yang mewakili unit-unit tersebut mengambil bahagian. Mereka diiringi oleh 20 orang guru penasihat. Semua peserta dan guru menaiki tiga buah bas yang disewa khas untuk ke kem tersebut yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sekolah.

Di kem tersebut, para peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan. Setiap kumpulan diselia oleh dua orang guru pengiring. Antara aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan tersebut ialah merentas halangan, ikhtiar hidup, keselamatan dalam air, pertolongan cemas, persembahan nyanyian, serta pertandingan reka cipta.

Para peserta perkhemahan menunjukkan semangat kerjasama yang erat ?umpama aur dengan tebing?. Mereka didedahkan dengan pelbagai pengetahuan yang amat berguna terutama dalam aktiviti ikhtiar hidup. Mereka belajar mengenal tumbuhan yang dapat dimakan dan yang beracun, cara memasak, serta cara berlindung di dalam hutan.

"Aktiviti perkhemahan ini berjaya mencapai matlamatnya. Para peserta yang terlibat menunjukkan sifat kepimpinan, keberanian, dan kerjasama mereka selain mempamerkan disiplin yang tinggi dalam setiap aktiviti," kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Setia Jaya, Puan Halimah Sakirin ketika majlis penutupan program tersebut.

Program yang bermanfaat ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan. Sekalung tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya.


Laporan disediakan oleh,

...... Zueriani.....................
(ZUERIANI BINTI IBRAHIM)
Setiausaha,
Persatuan Pengakap,
Sekolah Kebangsaan Setia Jaya.

Laporan Muat Turun