K
Dialog

Soalan Karangan

Kamu seorang wartawan majalah sekolah yang ingin menemu ramah seorang jurulatih badminton yang terkenal.

Tuliskan temu ramah itu selengkapnya.

Contoh Jawapan

Pemberita : Apa khabar? Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara Misbun kerana sudi meluangkan masa untuk saya.

Misbun : Khabar baik. Itu tidak menjadi masalah kepada saya.

Pemberita : Terlebih dahulu, bolehkah saudara menceritakan serba sedikit tentang latar belakang saudara dan penglibatan saudara dalam sukan badminton?

Misbun : Nama penuh saya ialah Misbun Hj. Sidek. Saya dilahirkan pada 17 Januari 1972 di Kanchong Darat, Banting. Saya telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Banting dan melanjutkan pelajaran di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Penglibatan saya dalam bidang badminton bermula sejak kecil lagi. Bapa saya memainkan peranan utama dalam membimbing dan mendidik saya sehingga menjadi seorang pemain yang berjaya. Di sekolah pula, saya dilatih oleh Cikgu Shuib yang ketika itu merupakan jurulatih badminton sekolah.

Pemberita : Boleh ceritakan sedikit tentang kenangan manis dan kenangan pahit sepanjang penglibatan saudara dalam bidang ini?

Misbun : Kenangan paling manis ketika itu adalah ketika menyandang naib johan seluruh England pada tahun 1996 dan juara dalam Kejohanan Alka pada tahun 2004. Kenangan pahit pula apabila 'Sidek Servis' diharamkan oleh Persatuan Badminton Dunia. Servis ini telah banyak membawa kemenangan kepada saya.

Pemberita : Sepanjang pemerhatian saya, saudara sekarang telah menjadi jurulatih bagi Nusa Mahsuri, apakah harapan saudara kepada anak didik saudara?

Misbun : Sebagai jurulatih, tentulah saya mahukan yang terbaik untuk mereka. Dengan pengalaman yang lepas, saya berharap saya dapat melahirkan lebih ramai pemain badminton yang berjaya.

Pemberita : Setakat ini saja temu ramah kita. Saya ingin mengucapkan terima kasih saudara kerana sudi meluangkan masa untuk saya. Semoga berjaya dalam melatih pemain-pemain baru.

Misbun : Sama-sama.

Dialog Muat Turun

    1. Karangan jenis dialog, temu ramah, dan wawancara ialah karangan berformat.
    2. Karangan jenis dialog, temu ramah, dan wawancara merupakan catatan perbualan antara dua orang atau lebih tentang sesuatu perkara.
    3. Dialog digunakan untuk urusan tidak rasmi seperti bertanyakan khabar atau perbualan menerusi telefon. Wawancara pula bersifat rasmi, iaitu perbualan antara dua pihak, iaitu pihak yang bertanya dan pihak yang menjawab. Biasanya, pihak yang menjawab merupakan watak yang mahir atau pakar dalam sesuatu bidang atau pencapaian.
    4. Sebelum memulakan dialog, calon boleh menyertakan keterangan tentang orang yang akan diajak berbual atau diwawancara.
    5. Format dialog/ temu ramah/ dan wawancara:
      1. Nama watak ditulis di sebelah kiri. Selepas setiap nama watak harus dibubuh tanda titik bertindih (:).
      2. Kata bual hendaklah ditulis selepas tanda tersebut. Calon perlu menggunakan kata sapaan atau kata pembuka bicara yang sesuai untuk memulakan perbualan dan diakhiri kata bual yang menunjukkan perpisahan atau tamat perbualan.