Anda ada 0 maklumat baru
+
Bahasa Melayu

Soalan kerap ditanya bagi subjek Bahasa Melayu

  • Bolehkah kalian memberi sesetengah kata sendi nama dan fungsi perkataannya?
    'Untuk' dan 'bagi' ialah kata sendi nama yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi yang tertentu. Kata sendi 'untuk' dan 'bagi' boleh bervariasi atau bertukar ganti jika digunakan di hadapan frasa nama atau kata nama yang berfungsi untuk menunjukkan kegunaan sesuatu. Contoh: Sebuah dewan untuk kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan. Sebuah dewan bagi kegiatan penduduk Taman Rasa Sayang sedang dalam pembinaan.
  • 1)Adakah "KE"untuk perkara yang belum berlaku dan "DI" untuk perkara yang sudah berlaku?
    ‘Ke’ untuk perkara belum berlaku. ‘Di’ untuk perkara sudah berlaku.
  • bagaimanakah untuk menulis karangan perbahasan jika di pihak pencadang?
    Karangan perbahasan ditulis seperti karangan yang lain tetapi menggunakan format karangan perbahasan. 1.Karangan jenis ini ialah karangan yang ditulis untuk menyampaikan pendapat tentang sesuatu tajuk yang diberikan. 2.Perbahasan terbahagi kepada dua pihak yang mempunyai pendapat yang bertentangan iaitu pihak pencadang dan pihak pembangkang 3. Kedua-dua pihak ini mempunyai pendapat-pendapat yang tersendiri yang hendak dihujahkan. 4. Setelah menulis pendahuluan hujah-hujah perlu dikemukakan.
  • bagaimana kita ingin menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif
    1. Ayat aktif i. Ayat aktif ialah ayat yang mana “pelaku” terletak di hadapan (sebagai subjek ayat) manakala “benda yang kena buat” terletak di belakang (sebagai pradikat ayat). ii. Biasanya kata kerja berimbunan ‘meN….’, ‘men….kan’ dan ‘men….i’. Contoh: Awang sedang mencuci kereta. (Awang ialah pelaku (di depan) dan kereta ialah benda kena buat). 2. Ayat pasif i. Ayat pasif ialah ayat yang mana ‘benda kena buat’ terletak di hadapan (sebagai subjek ayat) manakala ‘pelaku’ terletak di belakang (sebagai pradikat). ii. Biasanya kata kerja berimbuhan ‘di……’; ‘di…..kan’ atau ‘di….i’. Kata kerja juga boleh menggunakan perkataan ‘kena’. Kekecualian untuk pelaku gantinama diri pertama dan kedua yang mesti mendahului kata kerja tanpa imbuhan. Contoh: Kereta itu dicuci oleh Awang.
  • bolehkah saya menggunakan ungkapan menarik yang selalu digunakan dalam penulisan spm ke dalam penulisan pt3
    Bagi menulis karangan yang menarik, anda perlu mengemukakan idea yang bernas, mengolah idea dengan berkesan serta menyatakan contoh yang tepat. Anda juga perlu menegaskan setiap idea (isi) yang dikemukakan. Selain itu, anda juga perlu menggunakan ungkapan menarik, peribahasa, pendapat tokoh, dan kosa kata yang luas. Semua aspek yang dinyatakan ini jika digabungkan akan menghasilkan karangan yang bukan sahaja menarik tetapi berkesan kepada pembaca atau pemeriksa. Teruskan usaha anda.
  • Mestikah karangan respon terbuka dimasukkan peribahasa ataupun ungkapan menarik?
    Bahagian C: Karangan respon terbuka. Bagi penulisan karangan bahagian C, anda perlu mempunyai pengetahuan am yang luas. Pastikan anda tidak melakukan kesalahan tatabahasa, ejaan, dan tanda baca. Dalam perenggan pendahuluan anda perlu menulis tiga ayat rangsangan (tema soalan, AR) dan satu ayat arahan (kehendak soalan, AA). Perenggan isi pula, anda perlu menulis ayat Topik (AT) - isi penting dan tuliskan dua ayat huraian (AH) - huraian kepada ayat topik. Selain itu, anda juga perlu menulis satu ayat contoh (AC) - contoh yang sesuai dengan ayat topik (isi). Tuliskan satu ayat penegas (AP) - penegasan kepada isi yang dikemukakan. Jangan lupa masukkan ungkapan menarik atau peribahasa yang sesuai. Perenggan penutup pula, tuliskan satu ayat kesimpulan (AK). Tuliskan satu ayat harapan (A.Hrpn), satu ayat pendapat (A.Pdpt) dan satu ayat cadangan (A.Cdgn) Formula: 1. Perenggan pendahuluan: AR + AA. 2. Perenggan isi: AT + AH + AC + AP. 3. Perenggan penutup: AK + A.Hrpn + A. Pdpt + A.Cdgn.
  • Bagaimana untuk menulis surat kiriman tidak rasmi tentang pengalaman perkhemahan?
    Format surat kiriman tidak rasmi: a) Alamat pengirim — ditulis di sebelah kanan bahagian atas surat. b) Tarikh ditulis di bawah alamat pengirim. c) Pembuka kata — sebagai perenggan pertama ditulis ke dalam sedikit selepas diselang sebaris daripada tarikh. d) Panggilan hormat penerima seperti saudara, saudari, ayahanda, bonda, kakanda, dan sebagainya. e) Isi ditulis berdasarkan tujuan penulis menulis surat. lsinya dibahagikan kepada beberapa perenggan. f) Penutup — ditulis dengan ringkas seperti ucapan salam. g) Ucapan salam. h) Tandatangan ditulis di sebelah kanan bahagian bawah surat. Sebelum itu tulislah “Sahabatmu”, ”Anakanda yang jauh”.
  • apakah perbezaan antara ialah dan adalah.apakah perbezaan antara pada dan kepada..
    Sebenarnya, kata pemeri tidak digalakkan penggunaannya dalam bahasa Melayu. Tidak menjadi kesalahan kalau anda tidak menggunakan kata pemeri. Kata pemeri 'adalah' digunakan sebelum kata adjektif dan kata sendi nama. Contoh ayat: Kejayaan boleh dicapai adalah dengan membaca buku. Warna kegemaran saya adalah kuning. Sumbangan penting beliau adalah dari segi politik. Kata pemeri 'ialah' digunakan sebelum kata nama. Contoh ayat: Nama saya ialah Afiqah Hidayati. Kepada: 1. Menunjukkan sasaran/ditujukan. 2. Menunjukkan bahagian sesuatu. 3. Menunjukkan perubahan keadaan. Pada: 1. Menunjukkan tempat sesuatu perbuatan. (layang-layang tersangut pada arial televisyen) 2. Menunjukkan tempat tempat terdapatnya sesuatu. (barang itu ada pada saya) 3. Menunjukkan keterangan waktu. (bermula pada tengah malam)
  • Bagaimanakah menulis laporan yang baik?
    Tajuk Laporan: Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris atau ditulis dengan huruf besar semuanya. Tajuk hendaklah ditulis di tengah-tengah. Boleh ditulis dalam dua baris jika tajuk terlalu panjang. Isi Laporan: Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup. Pengakuan pelapor: Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terakhir. Tarikh: Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor. Tandatangan pelapor: Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor. Nama Pelapor: Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan. Jawatan Pelapor: Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma di hujungnya. Seterusnya tulis nama persatuan yang diwakili.
  • 1)Kata ganti nama ketiga "ia" bolehkah digunakan untuk benda? 2)Bagaimanakah membuat karangan rangsangan dan karangan umum?
    1. Ia ialah kata ganti nama diri ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan, tetapi kata ia tidak boleh merujuk kepada binatang. 2. Bagi penulisan karangan bahan rangsangan, gunakan kaedah berikut: a. Pendahuluan - tuliskan dua ayat sahaja iaitu ayat rangsangan (tema soalan, AR) dan ayat arahan (kehendak soalan, AA). b. Perenggan isi - tulis dua ayat sahaja iaitu Ayat Topik (AT) dan Ayat Contoh (AH). c. Perenggan penutup - tulis dua ayat sahaja iaitu Ayat Kesimpulan (AK) dan Ayat Pendapat (AP). d. Jangan lupa masukkan ungkapan menarik atau peribahasa yang sesuai. e. Pastikan anda tidak melakukan kesalahan tatabahasa, ejaan, dan tanda baca. f. Pastikan jumlah perkataan tidak lebih daripada 120 patah perkataan. Karangan merupakan wacana, iaitu kesatuan buah fikiran atau penyataan yang bertema dan disusun secara logik, berkaitan, dan berperenggan. Ciri-ciri karangan yang baik ialah mempunyai pendahuluan, isi, dan penutup. Anda perlu membina perenggan pendahuluan yang menarik. Dalam perenggan pendahuluan, anda perlu menulis ayat rangsangan dan ayat arahan. Manakala, setiap perenggan hendaklah mengandungi 4 unsur iaitu: a. Ayat topik/isi utama. • Mesti menjawab tugasan yang diberikan dalam soalan. • Gunakan ayat yang mudah. b. Huraian (ayat huraian) •Pengembangan isi berdasarkan isi utama. • Boleh merangkumi aspek persoalan bagaimana dan mengapa. •Menggunakan penanda wacana yang sesuai. • Gunakan kosa kata, ungkapan atau frasa menarik. c. Contoh (ayat contoh) •Bukti penyokong kepada isi utama dalam bentuk data statistik, pendapat orang yang sangat dikenali ramai dan dihormati, dan penemuan atau kajian sains. d. Kesimpulan (ayat penegas) • Penutup kepada perenggan dan menegaskan. Jangan lupa tuliskan perenggan penutup yang berkesan. Masukkan cadangan, harapan, dan kesimpulan. Anda perlu menyelitkan ungkapan yang menarik dan peribahasa yang sesuai. Anda juga perlu menitik beratkan aspek tatabahasa dan tanda baca.